Zahid bimbang wartawan tak beretika lebih mendapat perhatian

in zahidhamidi by

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata melihat kepada peredaran zaman media baru hari ini, industri media cetak dilihat semakin tidak mendapat perhatian.

Lebih membimbangkan penulisan wartawan di media baru yang tidak mempunyai etika kewartawanan mendapat perhatian yang lebih berbanding wartawan bertauliah hanya kerana penyampaian yang dibuat berunsur sensasi.

“Media cetak kini kurang edarannya, media elektronik kurang penontonnya dan beberapa media dengan tidak pun ditulis oleh wartawan tetapi hanya beberapa orang sahaja mengendalikan media itu tanpa latar belakang wartawan masih dapat penonton yang ramai.

“Bagaimana ia berlaku? Ini kerana lontaran penulisan mereka itu di luar daripada etika kewartawanan dan pendapat mereka itu seolah diraikan walaupun belum disahihkan.

“Apatah lagi kalau penulisannya melaga-lagakan kalangan pemimipin, rasa seronok ia berlaku (pergaduhan) daripada hasil penulisan itu,” kata Dr Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Minum Petang Amal Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) dan Tribute Untuk Allahyarham Ahmad Idris di ibu pejabat Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad pada Selasa.

Sementara itu, Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mendedahkan sebanyak lapan surat tunjuk di bawah Akta Mesih Cetak dan Penerbitan 1984 telah diberikan kepada syarikat akhbar tahun lalu.

Daripada jumlah itu tujuh diberikan kepada akhbar berbahasa Tamil dan satu kepada akhbar berbahasa Inggeris.

Tahun lalu juga menyaksikan 77 surat nasihat dikeluarkan kepada syarikat penerbitan di negara ini.

“Daripada jumlah ini sebanyak 29 surat dihantar kepada akhbar berbahasa Tamil, 21 kepada akhbar berbahasa Cina, 18 kepada akhbar berbahasa Inggeris dan 9 akbar berbahasa Melayu.

“Manakala sembilan surat teguran dikeluarkan iaitu lima kepada akhbar berbahasa Cina, tiga akhbar berbahasa Melayu dan satu Tamil,” katanya.

Ahmad Zahid juga berkata, sejak awal 2013 sehingga Disember 2015 sebanyak 50 kes telah dibawa ke mahkamah di seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 233 yang melibatkan hasutan dan komen yang memudaratkan.

Tambah beliau sejak 2010 hingga Mac tahun lalu seramai 22 pemilik rangkaian sosial, laman web dan blog telah dituduh di mahkamah kerana menyalahgunakan medium tersebut untuk pelbagai tujuan.

“Jangan tuduh kerajaan tidak melakukan sesuatu bagi menyekat penyebaran fitnah di negara ini. Dan bila kita mengambil tindakan jangan kata kita menyekat kebebasan media,” tegasnya.

Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menunjukkan setakat tahun lalu sejumlah 20.62 juta rakyat Malaysia memiliki akaun media sosial. -BNBBC

It's only fair to share...

Leave a Reply

Your email address will not be published.