Tak Mahu Hilang Deposit! PKR Bakal Tidak Bertanding Di PRK Tanjung Datu.

in Berita Nasional by

Menjelang kurang daripada seminggu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu (N03), PKR mengeluarkan kenyataan mengesahkan partinya tidak akan bertanding dalam PRK itu.

 

 

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dalam kenyataannya Rabu lalu berkata parti itu tidak akan bertanding dalam PRK Tanjung Datu kerana memilih untuk fokus kepada persediaan pilihan raya umum akan datang.

 

 

“Kami rasa kami tidak akan bertanding di Tanjung Datu. Asasnya ia cara untuk memberi penyandangnya, Datuk Abang Johari dan kerajaan negeri, peluang menjalankan dan melaksanakan inisiatif Adenan.

 

“Kami mahu melihat ia dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan atau tahun,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan selepas mesyuarat parti.

 

“Kami juga mahu melihat perkara itu dengan gambaran lebih besar. Secara politiknya tidak perlu ada pertandingan kerana kami mahu fokus kepada PRU14,” katanya merujuk kepada PRU akan datang yang perlu diadakan selewatnya Jun tahun depan,” tambahnya lagi.

 

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) DUN Sarawak 2016, Adenan menang kerusi Tanjung Datu dengan majoriti besar iaitu 5,892 undi dalam perlawanan satu lawan satu menewaskan calon PKR Jazolkipli Numan yang hanya mendapat 468 undi sahaja.

 

Ramai pemerhati berpendapat penarikan diri PKR bertanding di kerusi tradisi parti mereka memberi isyarat populariti Adenan amat kuat di DUN berkenaan dan percubaan meletakkan calon pembangkang lain di DUN itu adalah kerja sia-sia dan membuang wang selepas calon BN menang dengan majoriti besar dalam PRN negeri kira-kira lapan bulan yang lalu.

 

Ia juga tidak memberi sebarang keuntungan kepada pembangkang, jika sekiranya calon parti pembangkang menang sekalipun di DUN berkenaan tidak memberi apa-apa implikasi kerana Kerajaan Negeri Sarawak masih kukuh di bawah pemerintahan kerajaan BN.

 

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Madya Dr. Jeniri Amir berpendapat pengajaran calon PKR, Jazolkipli yang telah tewas dan hilang wang pertaruhan sepatutnya menjadi pengajaran kepada parti-parti pembangkang yang lain.

 

“Ditambah pula dengan undi simpati yang dijangkakan dalam PRK pada 18 Februari ini, pembangkang sebenarnya tidak mempunyai harapan untuk menang sekiranya bertanding,” jelas beliau.

 

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof, berharap BN akan menang tanpa bertanding dalam PRK itu nanti.

 

Sekalipun begitu, beliau berkata PBB tetap bersedia untuk menggerakkan jentera pilihan raya parti sekiranya ada pertandingan.

 

“Sebagai mengenang jasa bekas ketua menteri kita Allahyarham Tan Sri Adenan Satem saya minta supaya kerusi itu (Tanjung Datu) diberi kepada BN tanpa ada pertandingan,” katanya kepada pemberita hari ini.

 

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya sebelum itu meninjau pembinaan persimpangan bertingkat di Bulatan Datuk Temenggong Abang Kapali Abang Akip di Petra Jaya, Kuching.

 

Mengulas lanjut, Fadillah turut berterima kasih kepada PKR yang memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu nanti.

 

 

It's only fair to share...

Leave a Reply

Your email address will not be published.