Bakal menerima nasib sama, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram­karpal Singh yang turut mengeluarkan kenyataan serupa dalam mempertahankan Setiausaha Agung DAP yang belum di­sahkan jawatan itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzuklifli Ahmad berkata, Guan Eng akan dikenakan tindakan undang-undang jika beliau tidak memohon maaf secara terbuka kepada pihaknya dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya, setakat ini, SPRM masih belum menerima sebarang permohonan maaf daripada Guan Eng.

“Sebagaimana saya kata sebelum ini, kita minta Guan Eng tarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf secara terbuka dalam tempoh yang kita tetapkan.

“Jika tiada (permohonan maaf secara terbuka), baharu kita te­ngok apa tindakan yang patut diambil sama ada bersifat sivil atau jenayah,” katanya kepada pemberita di Jelebu, Negeri Sembilan, hari ini.

Kelmarin, SPRM memberi tem­poh 48 jam kepada Guan Eng untuk memohon maaf ekoran kenyataan yang dibuat itu kerana ia disifatkan serius dan berunsur fitnah.

Justeru, suruhanjaya itu menegaskan, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya Guan Eng gagal berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan.

Dalam pada itu, di JEMPOL, Dzulkifli mengingatkan Ramkarpal supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan tidak menolak akan turut dikenakan tindakan undang-undang kerana kenyataannya kepada pihak media semalam berunsur fitnah.

Ramkarpal mendakwa, SPRM tidak diberikan nasihat apabila menggesa Guan Eng meminta maaf kepada SPRM dalam tempoh 48 jam atau berhadapan de­ngan tindakan undang-undang.

Sementara itu, di PULAU PINANG, Guan Eng menyatakan belum bersedia memberi sebarang maklum balas mengenai permohonan maaf meskipun tempoh 48 jam diberikan SPRM berakhir hari ini.

Dalam sidang akhbar di sini, Guan Eng menegaskan, beliau hanya mahu menjawab isu tambak laut yang dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.