Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan peruntukan RM30 juta untuk pusat tahfiz di seluruh negara perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menaik taraf infrastruktur dan bukannya bagi membayar gaji kakitangan.



Ini kerana, kata Timbalan Perdana Menteri, 80 peratus daripada dana RM30 juta disediakan di bawah Bajet 2017 untuk penyelarasan pendidikan tahfiz digunakan untuk membayar gaji kakitangan pusat berkenaan.

“Apa yang digunakan lebih 80 peratus digunakan untuk membayar gaji sedangkan matlamatnya adalah untuk menaik taraf,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Psikologi Modal Insan 2017, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.

Pada 15 September lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi menaik taraf maahad tahfiz swasta susulan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, Kuala Lumpur yang meragut 23 nyawa termasuk 21 pelajar, 14 September lepas.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz, Ahmad Zahid berkata beliau akan memastikan peruntukan tersebut digunakan sepenuhnya untuk tujuan menaik taraf infrastuktur dan kemudahan maahad tahfiz.

“Perdana Menteri dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini telah menyerahkan peruntukan tersebut kepada saya untuk menaik taraf maahad tahfiz,” katanya.

Ahmad Zahid berkata sejak Suruhanjaya Siasatan Diraja yang menyiasat kebakaran Pondok Pak Ya pada 1989, telah berlaku lebih 100 kejadian kebakaran sekolah tahfiz melibatkan 57 kematian, namun masih ada pihak yang berkompromi mengenai isu keselamatan.

Pada pembentangan Bajet 2017 tahun lepas, Najib mengumumkan peruntukan RM30 juta bagi membolehkan persekitaran pembelajaran di sekolah tahfiz adalah lebih selamat dan kondusif. – BERNAMA

It's only fair to share...

pisau

No Comments

Leave a Comment



Hit Counter provided by Curio cabinets
Show Buttons
Hide Buttons