Home / Berita Utama / Korea Utara Larang Rakyat Malaysia Keluar Adalah ‘Tindakan Terancang’ – Penganalisis

Korea Utara Larang Rakyat Malaysia Keluar Adalah ‘Tindakan Terancang’ – Penganalisis

Walaupun ramai melihat tindakan Pyongyang terhadap Malaysia baru-baru ini sebagai tidak rasional, namun seorang penganalisis berpendapat sebaliknya.

Penganalisis Phoon Wing Keong percaya tindakan Pyongyang melarang rakyat Malaysia meninggalkan Korea Utara, dilakukan dengan sengaja untuk mencapai tiga objektif – sebagai membalas dendam terhadap Putrajaya kerana mengusir Duta Korea Utara Kang Chol, untuk menuntut penyerahan jasad Kim Jong-nam, dan juga untuk memberi tekanan terhadap polis Malaysia supaya tidak memburu dua rakyatnya (berkaitan pembunuhan Jong-nam) yang masih berada di Malaysia.

“Perkembangan itu adalah lebih teruk daripada memutuskan hubungan. Bila kita memutuskan hubungan, kita hanya meletakkan noktah kepada hubungan diplomatik. Tetapi keadaan (menjadikan rakyat Malaysia sebagai ‘tebusan’) telah membawa kepada krisis diplomatik,” kata Phoon kepada Malaysiakini.

“Sebelum ini, Pyongyang lebih cenderung (untuk mencapai sasarannya) melalui cara diplomatik dengan menghantar perwakilannya ke sini. Namun, usaha mereka itu gagal.

Kini, negara itu terpaksa meningkat tindakannya dengan harapan bahawa polis Malaysia akan berhenti memburu mereka yang terlibat dalam kes itu, katanya.

“Pyongyang dilihat oleh masyarakat antarabangsa sebagai sukar diramalkan, (negara) penyangak, yang tidak rasional di segi diplomatik dan ketenteraan. Tetapi yang sebenarnya, ialah ini telah dirancang secara rasional.

“Melarang rakyat Malaysia meninggalkan Korea Utara bertujuan untuk memecahkan kebuntuan itu. Pyongyang mahu kerajaan Malaysia tunduk kepada tuntutan mereka,” katanya.

Siasatan polis Malaysia ke atas kematian Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, mendedahkan dia telah dibunuh dengan ejen VX, senjata kimia diklasifikasikan sebagai senjata pemusnah besar-besaran.

Dalam mengeluarkan arahan untuk melarang semua rakyat Korea Utara meninggalkan Malaysia semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata negara ini bagaimanapun tidak berhasrat untuk memutuskan hubungan dengan Pyongyang, demi rundingan untuk membebaskan mereka yang terkandas di sana.

Seorang lagi penganalisis, James Chin, Pengarah Institut Asia, Universiti Tasmania, berkata Putrajaya tidak mungkin mengalah kepada Pyonyang dengan menyerahkan jasad Jong-nam.

“Ia akan menghantar mesej yang sangat tidak baik kepada dunia, bahawa Korea Utara boleh membuli Malaysia dengan menjadikan rakyatnya tebusan, sebagai pertukaran dengan jasad Jong-nam,” kata beliau.

Pada peringkat ini, kedua-dua negara tidak boleh berbuat banyak untuk memperbaiki keadaan, kerana mereka tidak mempunyai kelebihan terhadap satu sama lain, katanya.

“Sangat sedikit yang boleh dilakukan oleh kerajaan Malaysia kerana perdagangan dengan Korea Utara adalah kecil dan bilangan rakyat Malaysia yang melawat Korea Utara adalah sangat kecil,” katanya sambil menambah bahawa Korea Utara juga menghadapi masalah yang sama.

“Amat sukar bagi kedua-dua kerajaan untuk merundingkan penyelesaian kerana duta Korea Utara telah diusir keluar sementara duta Malaysia telah dipanggil balik dari Pyongyang,” katanya.

“Pilihan terbaik adalah bagi Malaysia meminta pihak ketiga untuk menyelesaikan isu itu. Satu-satunya pihak yang boleh berbincang dengan Korea Utara adalah mereka dari China,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, ini adalah sukar dan tidak mungkin berlaku buat masa ini, kerana Korea Utara telah menimbulkan “keberangan” China dengan menembak peluru berpandu ke arah Jepun awal minggu ini.

Walaupun jika kedua-dua negara mendapatkan orang tengah, namun ahli akademik kelahiran Sarawak itu berkata, pengantara masih perlu mencari jalan untuk menangani kebuntuan itu dengan penuh teliti.

“Jika Malaysia menyerahkan jasad (Jong-nam), maka akan jatuh air muka Malaysia, jika Pyongyang membenarkan rakyat Malaysia meninggalkan Korea Utara tanpa mendapat jasad (Jong-nam), maka ia akan jatuh air mukanya,” kata beliau.

Ahli akademik Oh Ei Sun pula mencadangkan Malaysia mendapatkan bantuan dari pihak berkecuali,negara seperti Sweden atau Palang Merah, yang dianggap sebagai entiti berkecuali.

“Sweden adalah negara yang dicari, bahkan oleh negara-negara yang berperang, manakala Palang Merah Antarabangsa adalah satu lagi entiti yang dianggap berkecuali,” kata felo kanan di Universiti Teknologi Nanyang Singapura itu.

Malaysia tidak harus tunduk kepada tekanan dengan Pyongyang, yang mahu pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara tergesa-gesa dan mengklasifikasikan punca kematian sebagai serangan jantung.

“(Ia akan menjadi satu ‘precedent’) jika kita berbuat demikian. Pada masa depan, mana-mana negara di rantau Afrika (contohnya) akan melakukan pembunuhan di sini apabila mereka tidak boleh melakukannya di negara mereka sendiri.”

It's only fair to share...

About pisau

Leave a Reply

Your email address will not be published.


x

Check Also

‘Autophagy The Scientific Of Fasting”

Nobel Prize research!  Fasting and this year’s Nobel prize – what is ...


Hit Counter provided by Curio cabinets