KATA bidalan Melayu ada menyebut, ‘jangan buat kerbau tanduk panjang’ yang bermaksud jangan campuri urusan orang lain.

Pepatah ini bertepatan dengan apa yang berlaku sekarang ini berkaitan keputusan Malaysia untuk menyemak semula kes Batu Puteh, batuan di sudut timur Selat Singapura yang sekarang ini, berdasarkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008, menjadi milik Singapura.

Pada Februari 2017, Malaysia telah memfailkan permohonan semakan ke atas keputusan ICJ yang disampaikan pada tahun 2008 ke atas Batu Puteh atau nama Singapuranya, Pedra Branca.

Kemudian pada Julai 2017, Malaysia memohon interpretasi penghakiman ICJ ke atas keputusan yang dibuat pada tahun 2008.

Ini telah menyebabkan ramai pakar undang-undang antarabangsa di Singapura membuat pelbagai komen bukan-bukan ke atas hal ehwal dalaman politik Malaysia, seperti yang dilaporkan oleh sebuah artikel yang diterbitkan pada Julai 2017 bertajuk ‘Malaysia throwing ‘the kitchen sink’ with second Pedra Branca Challenge, say experts’.

Terkini, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pula membuat komen serupa yang menuduh tindakan Malaysia menyemak Batu Puteh bermotifkan politik.

Batu Puteh kini sebahagian dari Singapura, batuan yang terletak 7.7 batu nautika dari persisiran Johor dan 24 batu nautika dari persisiran Singapura. Batuan Tengah atau Middle Rocks, yang terletak 1km dari Batu Puteh ditetapkan sebahagian dari Malaysia. Pihak ICJ tidak menyatakan apa-apa terkait Tubir Selatan atau South Ledge.

Singapura membuat tuntutan, antara lain berdasarkan surat yang diisukan oleh M. Seth Bin Saaid, pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 menafikan kedaulatan Johor ke atas Batu Puteh. Surat ini merupakan salah satu bukti kukuh yang meyakinkan ICJ untuk menyerahkan Batu Puteh kepada Singapura pada tahun 2008.

Walaubagaimanapun, Putrajaya kini mengutarakan bahawa tiga dokumen baharu telah ditemukan yang menafikan Batu Puteh adalah sebahagian daripada Singapura. Oleh kerana itu, Malaysia memfailkan semakan di ICJ pada Februari lalu.

Kritikan-kritikan berkaitan urusan dalaman politik Malaysia telah dibuat oleh pelbagai pihak di Singapura – bermula daripada pakar-pakar undang-undang antarabangsa sehinggalah ke orang nombor satu republik tersebut.

Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Singapura, Profesor Simon Chesterman dilaporkan telah menyebut bahawa kerajaan Malaysia sekarang sangat terdesak dan perlu menunjukkan ‘mereka telah melakukan apa yang patut’ untuk mendapatkan sokongan politik daripada orang ramai.

Kritikan ini juga telah disokong oleh Dr Mustafa Izudin, seorang felo di Institut Pengajian Asia Tenggara (ISEAS) di Institut Yusuf Ishak yang mengatakan bahawa permohonan kedua kepada ICJ yang dibuat pada Julai 2017 adalah ‘langkah strategik yang sengaja dilakukan untuk menghidupkan isu Batu Puteh bagi tujuan mendapatkan sokongan domestik’.

Beliau juga dilaporkan berkata bahawa semakan yang dibuat ini sebagai sebuah ‘pameran awam’ kepada para pengundi bahawa pihak kerajaan sebenarnya sedang melakukan sesuatu untuk mengambil semula Batu Puteh daripada Singapura agar mereka terlihat sebagai wira.

Terkini, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong juga dilaporkan berkata penyemakan ke atas kes Batu Puteh ini ada kaitannya dengan urusan dalaman politik Malaysia.

Kritikan-kritikan ini adalah tidak wajar, terutama sekali apabila ia diungkapkan oleh pakar undang-undang antarabangsa yang sememangnya jelas memahami konsep kedaulatan sesebuah negara.

Pertama, permohonan yang dilakukan oleh Malaysia tidak melanggar peruntukan Statut ICJ – Putrajaya hanya mengamalkan haknya sebagai negara anggota kepada prosiding tersebut tertakluk kepada Article 61(1) Statut ICJ.

Lagi pula, permohonan semakan ini dibuat sebelum berakhirnya tempoh 10 tahun setelah keputusan terdahulu dibuat.

Kedua, permohonan ni dilakukan adalah untuk menyelesaikan perkara ini secara aman, sebagaimana disyorkan oleh Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kritikan-kritikan ini, secara langsung atau tidak langsung mempamerkan keangkuhan terhadap hak Malaysia sebagai sebuah negara yang terlibat di dalam prosiding tersebut.

Kritikan-kritikan ini mungkin hanyalah pendapat peribadi ahli-ahli akademik Singapura. Tetapi sekarang ini kritikan tersebut juga disokong oleh sang Perdana Menteri Singapura.

Sekiranya benar ini sentimen kerajaan Singapura, ia sekali gus boleh menjejaskan semangat ASEAN yang berpegang teguh kepada prinsip tidak mencampuri urusan negara lain atau ‘non-interference’.

Malaysia menghormati undang-undang berkaitan urusan domestik Singapura, sebagai contoh polisi-polisi mengenai hak istimewa masyarakat Melayu minoriti di Republik tersebut yang dilindungi oleh Artikel 152 (1) Perlembagaan Singapura.

Artikel 152 (2) Perlembagaan Singapura memperuntukkan perlindungan terhadap bahasa Melayu, akan tetapi majoriti rakyat Singapura, seperti yang dilaporkan oleh Straits Times Singapore pada tahun 2014, tidak boleh bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu, bahasa kebangsaan Singapura.

Satu laporan akhbar memburuk-burukkan kakitangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru kerana tidak fasih berbahasa Inggeris, seperti yang pernah diterbitkan oleh The Independent.sg pada Ogos lalu, adalah contoh tegar bahawa Singapura tidak mengambil peduli kepentingan bahasa Melayu walaupun ia bertaraf bahasa kebangsaan.

Dalam kejadian tersebut, seorang warganegara Singapura, Justinian Tan, 25, meninggal dunia apabila HSA didakwa meminta pembayaran dahulu sebelum pembedahan dapat dilakukan.

Ternyata laporan ini adalah palsu dan portal The Independent.sg telah menarik balik artikel ini dan memohon maaf atas laporan tidak bertanggungjawab itu.

Apa yang penting, laporan portal The Independent.sg itu juga memetik bahawa terdapat salah komunikasi di antara rakan-rakan Tan dengan kakitangan hospital kerana mereka tidak fasih berbahasa Melayu.

Bagaimana mungkin rakyat sesebuah negara tidak fasih bertutur dalam bahasa kebangsaannya sendiri?

Malaysia, sebuah negara majoriti Melayu, senantiasa menahan diri daripada mengkritik Singapura dalam perkara ini kerana menyedari bahawa perkara ini adalah hal dalaman Singapura dan patut dihormati.

Untuk tempoh satu dekad, Malaysia dan Singapura telah gagal untuk melukis garis sempadan maritim yang disepakati di sekitar Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. Usaha ini telah menemui jalan buntu sejak 2013.

Sebagai negara jiran yang baik, Malaysia mengambil inisiatif untuk menyelesaikan kes ini di ICJ.

Tidak dapat difahami kenapa pernyataan-pernyataan tidak berasas ini dibuat ke atas Malaysia. Sekalipun kerajaan Malaysia menggunakan Batu Puteh untuk mendapatkan undi, ini adalah hal dalaman Malaysia dan tidak ada kaitan sama sekali dengan Singapura.

Terdapat asas perundangan kukuh untuk Malaysia membuat semakan kes tersebut di ICJ. Perlu diingat bahawa hubungan bilateral yang baik di antara Putrajaya dan Singapura dapat dijaga kerana kedua-dua negara saling menghormati dan bukannya dengan cara saling memburukkan.

Tidak usahlah untuk mereka mencampuri urusan dalaman politik Malaysia. Bak kata bidalan, jangan buat kerbau tanduk panjang.


* Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph. D) ialah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.

** Pendapat ini adalah pandangan peribadi penulis dan tiada kena-mengena dengan Astro AWANI



Source by [author_name]

It's only fair to share...

pisau

One Comment

  • Reply
    24/11/2017

    Dasar dan amalan umum PAP sewaktu Sinagapura dalam gagasan Malaysia ialah ” Malaysian Malaysia”. Apabila idealisme in gagal PAP kini fokus kepada konsep “Social Engineering” sebagai strategi “divide and rule” dan melebarkan lagi “plularisme” di Singapura. Dasar ini difokuskan kepada penduduk minoriti khususnya orang-orang Melayu. Dalam pada itu ” Kesultanan Melayu Singapura” turut didilusikan kekebalan dan “kedaulatan” Raja Melayu Singapura (khususnya Riau-Lingga)…nostalgik sekali Istana Melayu Kg Gelam, menjadi galeri persejarahan Kesultanan Melayu Singapura.

Leave a Comment



Hit Counter provided by Curio cabinets
Show Buttons
Hide Buttons