IBADAH Ramadan tahun ini bertambah mencabar ekoran fenomena El Nino yang menyebabkan rantau Asia Pasifik menerima cuaca panas dan lembab luar biasa. Selain itu, Ramadan yang tiba pada pertengahan musim panas di hemisfera utara menambahkan lagi cabaran sedia ada.

Kali terakhir Ramadan jatuh pada pertengahan musim panas adalah 30 tahun lalu iaitu pada tahun 1980. Malah, ibadah puasa kali ini dianggap lebih mencabar oleh kebanyakan pakar-pakar pengkaji cuaca di seluruh dunia kerana faktor pemanasan global yang menyebabkan suhu bumi terus meningkat.

 

Berdasarkan suhu global, negara seperti Kuwait dan Iraq mencatatkan suhu harian sehingga 50 darjah celcius. Selain itu, umat Islam di Doha, Qatar pula perlu berpuasa dengan tempoh waktu yang lebih panjang iaitu 13 jam sehari dari terbit matahari pada pukul 4.55 pagi sehingga terbenam pada pukul 6.25 petang.

Ekoran faktor cuaca global, beberapa negara Islam telah mengambil pendekatan berjaga-jaga seperti mengurangkan waktu bekerja bagi meringankan tanggungjawab umat Islam menyempurnakan ibadah puasa.

Sebagai contoh, kerajaan Qatar terlebih dahulu mewajibkan setiap majikan mengurangkan masa bekerja sehingga dua jam berbanding hari biasa.

Manakala, kerajaan Maghribi pula telah memendekkan tempoh waktu siang supaya pekerja-pekerja dan buruh di negara itu dapat berbuka sejam lebih awal. Pakistan juga tidak ketinggalan mengambil keputusan memendekkan pemotongan bekalan elektrik harian sehingga 22 jam.

Di Asia Pasifik pula, Ramadan tahun ini berlaku ketika puncak musim El Nino. Cuaca panas dan lembab luar biasa ini berlaku akibat suhu air yang lebih panas di tengah dan timur Lautan Pasifik lalu menyebabkan pergerakan menaik wap yang kuat serta merendahkan tekanan permukaan di kawasan terbabit.

Bagi umat Islam di Malaysia, kali terakhir negara dilanda El Nino ialah pada awal April 1998 dan suhu panas yang direkodkan adalah 40.1 darjah celcius di Chuping, Perlis.

Kali ini, Malaysia menerima nasib sama seperti negara jiran Brunei, Singapura, Indonesia, selatan Thailand dan Filipina apabila tekanan atmosfera meningkat menyebabkan terjadi cuaca yang lebih kering.

Menurut seorang doktor yang berpangkalan di Kazan, Rusia, Dr. Ildar Tukhvatullin, beliau amat menekankan kepentingan berbuka puasa dengan betul serta tidak meninggalkan sahur.

“Elak makan terlalu banyak. Umat Islam perlu mengambil makanan yang tinggi karbohidrat seperti buah kering, kurma, daging, ikan, produk tenusu dan elakkan minuman bergas,” katanya.

Sementara itu, pelajar bidang kesihatan, Mubarakah Ibrahim dari FitMuslimah.com pula mencadangkan umat Islam meminum air sebanyak 300 mililiter (ml) setiap setengah jam untuk mengelakkan dehidrasi apabila berpuasa keesokan harinya.

– DHIYA’ZULHILMI DAUD

It's only fair to share...

pisau

No Comments

Leave a Comment



Hit Counter provided by Curio cabinets
Show Buttons
Hide Buttons