Home / Berita Dunia / Ceritalah ASEAN – U Phyo Min Thein Ketua Menteri Yangon curi tumpuan ramai

Ceritalah ASEAN – U Phyo Min Thein Ketua Menteri Yangon curi tumpuan ramai

BIARPUN Naypyidaw yang terletak 320 kilometer ke utara telah menjadi ibu kota Myanmar sejak 11 tahun yang lalu, bandar pelabuhan yang bertenaga ini — dengan jalan rayanya yang sentiasa sesak, warisan zaman penjajahan yang semakin pudar serta keindahan Pagoda Shwedagon — terus memukau di negara ini.

Ketika Daw Aung San Suu Kyi (ASSK) dan parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) merayakan tahun pertama ia berkuasa, jelas kelihatan hab perniagaan yang dinamik ini akan menjadi kunci kejayaan beliau pada masa depan.

Dengan keseluruhan penduduknya yang berjumlah 7.36 juta (wilayah Yangon melangkaui kawasan bandar utama) dan hampir suku daripada keseluruhan KDNK negara berada di sini, sebarang pelaksanaan pembaharuan politik dan ekonomi harus terlebih dahulu membawa kesan positif di bandar raya ini sebelum ia tersebar ke seluruh negara yang mempunyai penduduk 52 juta orang ini.

U Phyo Min Thein ialah “orang kuat Yangon” bagi NLD.

Selepas meraih kuasa pada 2016, beliau telah dipilih menjadi Ketua Menteri Wilayah Yangon. Seperti ASSK yang disegani, ‘Kwee’ Phyo (Saudara Phyo) juga bekas tahanan politik dan pernah merengkuk dalam penjara selama 15 tahun.

Ketika saya menemubual beliau minggu lalu di pejabatnya dari era Ne Win yang tampak suram, U Phyo Min Thein yang selalu merendah diri itu menunjukkan keazaman yang kental serta pengetahuan yang menakjubkan tentang hal ehwal serantau. Beliau tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda keletihan biarpun baru menjalani pembedahan jantung, sebaliknya cergas ke sana ke mari dalam pejabatnya.

 U Phyo Min Thein merupakan bekas tahanan politik, yang telah menjalani hukuman penjara selama 15 tahun. Foto Karim Raslan

Tidak perlu dinafikan, beliau sedang pantas memahat namanya sebagai pemain politik yang pintar. Bekas mahasiswa fizik dan aktivis di Universiti Yangon ini dipenjarakan pada 1991 selepas terlibat dalam kebangkitan mahasiswa menentang junta tentera pada 1988.

Beliau sungguh tenang apabila mengenang semula pengalamannya di penjara. Katanya: “Umur saya dalam 20an semasa saya ditahan oleh perisik tentera… Mereka asyik memanjangkan hukuman saya… Pengalaman itu menjadikan saya lebih matang. Dua perkara membuatkan saya mampu bertahan: Pertama, kekaguman saya kepada Daw Aung San Suu Kyi. Kedua, pegangan agama Buddha. Amalan Buddha membantu saya mengharungi masa-masa yang sukar itu.”

U Phyo Min Thein (yang berkahwin dengan Daw Khin Mi Mi Kywe pada tahun 2009) hanya menyertai NLD pada tahun 2012.

Ini dilihat sebagai langkah yang bijak kerana beliau kemudiannya dipilih sebagai calon dalam pilihan raya kecil pada tahun yang sama.

The Yangon Bus Service (YBS) mendapatkan kritikan tajam sejak peluncurannya pada Januari 2017. - Foto Karim Raslan

Beliau seterusnya mendaki tangga kuasa dalam NLD dengan cepat, dan dilaporkan berperanan sebagai perangka strategi utama parti itu dalam pilihan raya umum pada tahun 2015.

Mengimbas kembali saat itu, beliau berkata: “Di Parlimen, Daw Aung San Suu Kyi banyak mengajar kami. Beliau mengajar kami bahawa ahli politik perlu sentiasa terbuka untuk belajar ilmu baharu. Kami harus sentiasa yakin, bersabar dan sistematik… saya menganggap beliau sebagai seorang ibu.”

Tentunya, kesabaran adalah nilai yang sangat beliau perlukan di Yangon ketika ini. Lebih-lebih lagi kerana tahun pertamanya sebagai Ketua Menteri penuh dengan cabaran.

Salah satu daripada insiatif utama beliau iaitu Perkhidmatan Bas Yangon (YBS) yang dilancarkan pada awal tahun ini telah dikritik oleh pelbagai pihak.

Inisiatif yang bermula sebagai percubaan berani untuk menyelaraskan sistem pengangkutan awam di ibu kota ini telah menimbulkan kekecewaan dalam kalangan penumpang susulan kenaikan tambang, kelewatan yang semakin serius serta perkhidmatan yang tidak konsisten.

Sebuah video di Facebook yang dimuat naik untuk meraikan ulangtahun pertama U Phyo Min Thein sebagai Ketua Menteri yang mengangkat YBS sebagai satu kejayaan terpaksa ditarik balik setelah dikritik keras oleh pengguna media sosial.

Walaupun nampak mempertahankan diri apabila membincangkan isu YBS, beliau cuba menjelaskan apa yang ingin beliau capai: “Saya tidak melihatnya (YBS) sebagai masalah besar… Kami sedang menanganinya satu persatu… Dalam apa juga pembaharuan, tentu akan ada pelbagai cabaran, baik dalam bentuk politik atau daripada pihak-pihak yang ada kepentingan.”

Sebahagian Yangon masih memiliki seni bina zaman kolonial dengan gaya bangunan yang sempit berjejer di pusat bandar. Foto Karim Raslan

Harus diingat bahawa bersama-sama NLD beliau sedang berjuang menentang pengabaian yang sistematik, amalan rasuah serta salah guna kuasa yang sudah berlaku selama beberapa dekad lamanya. Pengundi memahami hakikat ini dan terus menyokong mereka.

Malah, penduduk Islam tempatan yang meskipun resah dengan retorik ekstremis golongan ‘hardliner’ (pihak yang tidak mahu bertolak ansur) Buddha serta kesan keganasan yang berterusan di wilayah Rakhine merasakan bahawa ada kelompok dalam tentera yang sengaja mencetuskan sentimen kebencian.

Pada 9 Mei — malam sebelum saya tiba di Yangon — sami-sami nasionalis mengetuai kumpulan pelampau masuk ke kawasan majoriti Muslim di pekan Mingalar Taung Nyunt untuk mencari “pendatang haram Rohingya”.

Suasana jadi tegang dalam sekelip mata dan pihak polis terpaksa melepaskan tembakan amaran.

Apabila ditanya tentang keganasan tersebut, Ketua Menteri itu dengan tegas mengatakan: “Keadaan ini telah dicetuskan oleh kumpulan penghasut. Kami akan mengambil tindakan undang-undang (terhadap mereka). Agensi penguatkuasa undang-undang sudah mula mengambil tindakan.”

Sememangnya, pada 12 Mei, pihak polis mengeluarkan waran tangkap bersabit dengan insiden tersebut.

Namun, penjelasan beliau tentang pergolakan di Rakhine selari dengan penjelasan Daw Aung San Suu Kyi — dan ini sangat mengecewakan.

Bagaimanapun, U Phyo Min Thein lebih memahami berbanding dengan sikap Daw Aung San Suu Kyi yang lebih dingin.

Beliau memulakan setiap hujahnya dengan memartabatkan kepelbagaian kaum dan agama di Myanmar biarpun kepelbagaian itu sedang terancam. “Ada kebebasan beragama di Myanmar. Dekat Pagoda Sule (di pusat bandar Yangon), ada sebuah rumah ibadat Bengali, gereja dan kuil Hindu.”

”[Pergolakan di] Wilayah Rakhine ini bukan soal agama. Walaupun orang Rohingya tidak termasuk dalam 135 kumpulan etnik yang diiktiraf di Myanmar, ada kumpulan etnik Kamein yang majoritinya beragama Islam. Ini membuktikan masalah pokok di Rakhine bukan soal agama, tetapi soal etnik.”

Wilayah Yangon mempunyai populasi 7.36 juta dan menyumbang 23 peratus daripada keseluruhan KDNK negara. - Foto Karim Raslan

Mengesan rasa curiga saya, beliau cuba meyakinkan saya dengan berkata: “Kami ingin membina sebuah negara yang semua agamanya sama rata. Ini sebahagian daripada demokrasi, hak asasi dan kematangan.”

Namun, U Phyo Min tampak lebih cenderung mahu bercakap tentang cita-cita beliau untuk Yangon, yang mempunyai kadar pengangguran sebanyak 4.1 peratus dan kadar kemiskinan 40 peratus.

“Visi saya untuk Yangon adalah untuk mengekalkan warisannya, untuk jadi sebuah bandar raya hijau dan sebuah kuasa ekonomi, yang menarik minat dan didiami oleh para pelabur.”

“… salah satu cabaran yang dihadapi oleh para pelabur ialah harga hartanah yang sangat tinggi, yang sedang kami cuba kawal sedaya upaya. Bagi meningkatkan kemudahan pelaburan, kami sedang membangunkan projek industri serta perumahan yang baharu.”

Meskipun dikritik oleh sektor perniagaan kononnya NLD kekurangan ahli teknokrat serta mereka yang ada pengalaman dunia sebenar, Ketua Menteri ini dapat pujian kerana pendekatan beliau yang merendah diri serta sentiasa gigih mencari jalan penyelesaian.

“Kemasukan pelaburan asing akan mencipta peluang pekerjaan baharu serta membawa masuk teknologi baharu… Kalau kita boleh mencipta peluang pekerjaan baharu di Yangon, kita boleh menyelesaikan masalah gelandangan.”

“Kami mengalu-alukan pelabur dari seluruh dunia… termasuk jiran ASEAN kami. Kami tidak boleh bersendirian membangunkan negara ini.”

Namun, apabila saya menimbulkan soal dasar “One Belt, One Road” (OBOR) China, beliau dengan tegas mengatakan: “Myanmar akan turut serta dalam OBOR, dan kami berharap bahawa ia akan membantu kami untuk menambah baik sistem pengangkutan kami. Tetapi, ia harus memberi manfaat untuk kedua-dua pihak.”

Apabila ditanya apakah beliau sedang diasuh untuk menggantikan Daw Aung San Suu Kyi, U Phyo Min Thein menepis pertanyaan saya: “Saya tidak melihat diri saya sebagai pengganti beliau… Saya hanya ingin membantu menyelesaikan masalah negara ini. Saya sudah dilantik untuk menjaga Yangon dan saya sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah di sini.”

Populariti U Phyo Min Thein mula meningkat semenjak bergabung dengan National League for Democracy (NLD) pada 2012. Foto Karim Raslan

Namun, jarak umur mereka (ASSK kini berusia 71 tahun) membuatkan tidak salah untuk beranggapan bahawa Ketua Menteri ini akan terlibat secara prominen dalam perancangan NLD pada masa depan, meskipun apabila anda bersua muka dengannya, beliau lebih suka membayangkan bahawa beliau lebih selesa duduk di belakang tabir.

Beliau memang ada tugas yang berat. Dengan lebih setengah juta gelandangan, Yangon dengan keadaan jalanannya yang dipenuhi sampah sarap bertaburan, masih tidak maju dan tidak menentu.

Pada masa yang sama, musuh politik ASSK dan NLD mempunyai pengaruh besar di bandar raya ini, terutamanya dalam kalangan golongan usahawan elit.

Bagaimanapun, jika dalam masa empat tahun akan datang (pilihan raya umum mesti diadakan pada 2020) U Phyo Min Thein mampu menangani pihak-pihak yang berkepentingan, menyelesaikan masalah pengangkutan awam, menarik minat pelabur, mencipta peluang pekerjaan baharu dan membendung kencenderungan tercetusnya situasi huru-hara, beliau dan NLD akan menang besar.

Sebahagian kejayaan NLD pada masa depan bergantung pada tokoh yang berusia lewat 40-an ini, yang sedang menjalani pemulihan selepas pembedahan jantung.

U Phyi Min Thein, Ketua Menteri yang kurang menonjol, kini menjadi bahagian penting dalam trajektori masa depan politik Myanmar.


Source by [author_name]

It's only fair to share...

About pisau

Leave a Reply

Your email address will not be published.


x

Check Also

PM Kanada Justin Trudeau buktikan dia memang Super Dad

OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau sekali lagi menarik perhatian dunia apabila ...


Hit Counter provided by Curio cabinets