Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata antara projek terlibat adalah Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh ke Semantan sepanjang 23 kilo­meter melibatkan 12 stesen.

Selain itu, penyambungan jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) dari Sri Petaling dan Kelana Jaya ke Putra Heights sepanjang 35.1 km dengan kos RM9.54 bilion.

Beliau berkata projek lain ialah pembinaan 234,832 unit Rumah Mampu Milik; pembinaan sembilan buah sekolah baharu (RM343.45 juta) dan membaik pulih 161 buah sekolah daif di Sabah dan Sarawak (RM37 juta) serta menaik taraf kemudahan perubatan hemodialisis di 22 buah hospital (RM5 juta).

“Kemudahan akses jalur lebar di seluruh negara melalui penyediaan 230,366 port internet baharu dengan kos RM1.8 bilion selain pembinaan lima buah Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan lapan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) serta pembinaan 5,797 kilometer jalan luar bandar berturap dengan kos RM7.66 bi­lion,” katanya dalam satu kenya­taan di sini, hari ini.

Ahmad Zahid sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Ja­watankuasa Kebangsaan Aku Janji Kerajaan Persekutuan di Bangunan Utama Parlimen.

Mesyuarat turut dihadiri menteri-menteri serta pegawai tinggi kerajaan.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat itu memfokuskan tiga inisiatif AKP iaitu Menangani Kos Sara Hidup; Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia dan Transformasi Luar Bandar; serta Membina Kecemerlangan Pendidikan.

Katanya lima kertas pembentangan telah dibincangkan pada mesyuarat tersebut yang memberi tumpuan kepada isu kelangsungan projek, keupayaan pencapaian sasaran inisiatif dan isu pelaksanaan semasa.

“Tanggungjawab Jawatanku­asa Kebangsaan AKP ini adalah untuk memastikan pelaksanaan kesemua janji kerajaan Persekutuan semasa PRU-13 pada tahun 2013 yang lalu berjalan lancar dan dilaksanakan sepenuhnya dengan kaedah menyelesaikan isu-isu pelaksanaan yang memerlukan keputusan jawatankuasa peringkat tertinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata selaras dengan aspirasi 2017 sebagai Year of Delivery, komitmen kerajaan untuk merealisasikan AKP diteruskan dengan pelaksanaan program dan projek seperti peningkatan amaun Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan kos RM6.8 bilion.

Selain itu, pembinaan pusat Anjung Kasih di Hospital Queen Elizabeth di Sabah, Hospital Sultanah Aminah di Johor dan Hospital Serdang di Selangor, Hospital Besar Pulau Pinang dan Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah.

Kerajaan juga akan meneruskan program e-Usahawan dan e-Rezeki dengan kos RM100 juta untuk meningkatkan pendapatan 300,000 peserta; dan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang bermula Julai nanti, katanya.