Derita remaja berpenyakit kulit
Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
pengarang@utusan.com.my

|
| Muhamad Kamarol Mansor sering tergaru-garu seluruh badannya akibat menderita sakit kulit sejak dilahirkan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Muar, Sungai Tong, Setiu, Terengganu, baru-baru ini. |
SETIU 23 Sept. – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dugaan yang ditanggung sejak 17 tahun itu disorokkan daripada pengetahuan umum dengan telatahnya yang periang dan peramah.Namun di sebalik kegembiraan itu, terselit kedukaan yang tidak tertanggung oleh sesiapa sahaja yang melihatnya.
Muhamad Kamarol Mansor atau lebih dikenali di kalangan rakannya dengan panggilan Marol dipercayai menghidap sejenis penyakit kulit misteri yang sukar diubati.
Disebabkan penyakit itu, dia saban hari terpaksa menahan rasa gatal dan pedih kesan daripada penyakit tersebut.
Sekali pandang, kulitnya seakan bersisik-sisik seperti ikan serta kemerah-merahan akibat tindakannya yang gemar menggaru apabila terasa gatal.
Natijahnya, kulit yang telah sedia ada bersisik dan kemerahan itu akan berdarah dan mengeluarkan kulit kering yang memutih ke lantai.
Lebih memburukkan keadaan, cuaca panas juga menyebabkan rasa gatal dan pedih semakin menyeksakan Kamarul apabila terpaksa menggunakan kipas yang kuat untuk menghilangkan peluh yang keluar.
Jika tidak, lagi teruk keadaannya apabila tiba waktu malam kerana semakin sukar untuk melelapkan mata.
Begitulah serba sedikit tentang kesukaran adik Kamarul ketika wartawan Utusan Malaysia menghubunginya baru-baru ini sebelum mengambil keputusan untuk pergi sendiri ke rumahnya bagi melihat keadaan sebenar Kamarul.
Dengar sahaja sudah terasa sukarnya, apatah lagi jika melihat dengan mata sendiri.
Telahan itu benar apabila tiba sahaja ke rumahnya di Kampung Padang Muar, Sungai Tong, sudah dapat dilihat dari jauh adik Kamarul asyik menggaru keseluruhan badannya.
Namun melihat kelibat wartawan dan jurugambar yang hadir, dia segera masuk ke dalam rumah. Mungkin malu dilihat tidak berbaju apatah lagi kulit bersisik pula.
Melihat keadaan rumahnya yang agak usang, dapat dibayangkan betapa sukarnya kehidupan yang dilalui oleh keluarga empat beranak itu.
Menurut bapanya, Mansor Mahmood, 55, Kamarul sememangnya seorang budak yang periang dan peramah.
Dia tidak pernah berasa kekurangan dengan keadaannya yang luar biasa itu malah mempunyai ramai kawan di sekolah.
Ujarnya, namun setiap kali melihat wajah anak lelakinya yang gemar membaiki motosikal dan melukis itu, dia bimbang akan masa depannya.
Jelasnya, lebih 50 doktor dan bomoh telah ditemui untuk mengubati penyakitnya itu namun sehingga kini masih tiada tanda-tanda penyakit itu akan sembuh.
‘‘Saya bukan orang kaya-raya dan hanya mampu membawa dia ke hospital atau klinik pakar apabila ada duit sahaja, jika tidak dia terpaksa menanggung rasa gatal dan pedih setiap masa.
‘‘Setiap malam saya tidak dapat tidur nyenyak kerana dia sering mengadu gatal dan pedih jadi saya terpaksa menggosok badannya agar dia berasa lebih selesa,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Tambah Mansor, dia yang hanya melakukan kerja kampung seperti menoreh getah, berniaga kecil-kecilan dan mengajar mengaji hanya berpendapatan lebih kurang RM400 sebulan selain mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.
Jelasnya, pendapatan yang sedikit itu sememangnya tidak dapat menampung kos rawatan Kamarul yang memerlukan RM370 setiap kali mendapatkan rawatan.
‘‘Disebabkan keseluruhan kulitnya dijangkiti, jadi ubat yang diberi setiap kali rawatan tidak cukup, jadi memerlukan banyak ubat dan pastinya kos lebih tinggi.
‘‘Kebiasaannya saya akan pentingkan rawatan dia terlebih dahulu kemudian duit lebih itu baru untuk kegunaan harian keluarga, terpaksalah berjimat-cermat,’’ ujarnya yang sering meminta bantuan jiran untuk membawa anaknya ke klinik pakar kulit di Kuala Terengganu.
Ujarnya, dia amat berharap sekiranya ada doktor yang mahu tampil untuk merawat penyakit anaknya itu.
Sementara itu, Kamarol ketika ditanya mengenai aktivitinya pada bulan puasa lalu, dia hanya memberitahu lebih suka duduk di rumah atau menunggang motosikal dengan rakan-rakannya sahaja.
Ujarnya, keadaannya yang tidak boleh berpeluh menyebabkan dia tidak boleh bersukan atau terkena panas.
‘‘Saya suka mengaji, melukis atau menunggang motosikal dengan kawan-kawan jika ada masa lapang. Saya juga amat berharap ayah dapat menyediakan satu bengkel motosikal kerana saya amat suka membaiki motosikal selain dapat membantu keluarga,’’ ujar pelajar Sekolah Menengah Sungai Tong itu.
Bagi mereka yang ingin membantu, bantuan boleh disalurkan kepada Muhamad Kamarol Mansor di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 1140029000156461.
Pisau bersimpati terhadap adik Kamarul dengan penderitaan yang ditanggungnya,Pisau berharap jika pembaca yang berkemampuan menghulurkan bantuan agar dapat mengurangkan beban yang ditanggung.Jika anda mempunyai kepakaran sila silalah memberi bantuan yang sewajarnya.
Pisau kata " rasanya banyak kes yang tak pernah didedahkan kepada masyarakat,takkan lah lepas siar di akhbar baru nak membantu,harap wakil rakyat atau pemimpin tempatan tampil membantu yang memerlukan"