"Apabila Lim Guan Eng (LGE) menjadi KM Penang, dia berazam mencontohi pentadbiran Khalifah Umar yang terkenal dengan keadilannya. Tindakan awalnya sebagai KM menaikkan elaun guru KAFA. Kini, dia menjadi seorang personaliti yang menarik perhatian orang Melayu dan orang Islam yang rasional. LGE adalah seorang pemimpin politik Cina yang sedang menunjukkan dirinya sebagai seorang orang Malaysia. Dia dipercayai akan bekerja bersungguh-sungguh supaya boleh dilihat sebagai pemimpin Malaysia dan bukannya sekadar seorang pemimpin Cina.
Tindakan awalnya sebagai KM mengingatkan kepada imej Lee Kuan Yew (LKY) sebagai S/U Agung Petir PAP sebelum berkuasa dulu.
LKY bukan sekadar bercakap Melayu, tetapi menguasainya dan menguasai tulisan jawi. Dia banyak menyuarakan isu Melayu. Kerana itu, dia dilantik sebagai peguam Utusan Melayu dan hampir setiap petang di Pejabat Utusan Melayu di Singapura.
Ramai orang Melayu Singapura masa itu merasakan LKY seolah-olah nasionalis Melayu, mengalahkan orang Melayu sendiri.
Bukan mudah bagi Yusuf Ishak (pengasas dan boss Utusan Melayu di Singapura) mendewakan seseorang, tetapi dia sangat mempercayai LKY sebagai seorang pejuang yang boleh memberikan pembelaan kepada semua penduduk Singapura khususnya Melayu.
LKY sesudah berkuasa dan Singapura menjadi sebahagian dari Malaysia mengambil Yusuf Ishak sebagai Yang DiPertua Negara Singapura yang pertama selepas berpisah dari Malaysia. Yusuf Ishak juga menjadi Presiden Singapura yang Pertama.
Kerana Utusan Melayu adalah sumber dan menguasai pengaruh pemikiran orang Melayu, maka ramai orang Singapura berfikiran seperti Yusuf Ishak.
Dalam pilihanraya yang membawa kemenangan dan kekuasaan LKY, pengundi-pengundi Melayu ikut menyokong calon Petir. Calon UMNO kebanyakannya kalah kepada calon Melayu dari Petir.
Selepas LKY berkuasa, beliau lama kelamaan tidak lagi kelihatan seperti LKY yang dirasakan oleh orang Melayu sebelumya. Adalah benar Bahawa LKY mesti menunjukkan diri sebagai Pemimpin Singapura dan dia terpaksa membangunkan kaum-kaum yang ada di Singapura itu sebagai bangsa Singapura.
Singapura sebelumnya adalah pusat perkembangan politik dan sosio budaya orang Melayu kerana ia terletak ditengah alam Melayu. Singapura adalah pusat dagang bagi Indonesia, Malaya, Borneo, Filipina dan lain-lain. Disitulah berkembangnya perjuangan menegakkan kedaulatan Melayu.
Kira-kira ia menjadi pusat tempat menyatukan pemikiran orang Melayu yang berbagai-bagai ragam di alam Melayu itu. Keupayaan LKY menyesuaikan pergaulan dan pertuturan seperti lain-lain Melayu meransang harapan bahawa Singapura akan menjadi pusat perkembangan Melayu. TETAPI, Singapura yang dibangunkan oleh LKY adalah sebuah Singapura tersendiri. Ia terbentuk sebagai sebuah lagi masyarakat dan wilayah Cina selepas Tanah Besar China, Taiwan dan Hong Kong.
Apapun Singapura adalah sebuah negara yang maju, tetapi kaum Melayu adalah kaum yang tiada apa-apa kelebihan daripada lain-lain kaum.
Selepas Yusuf Ishak, tiada lagi orang Melayu yang diangkat sebagi Presiden. Peluang orang India bagi menjadi presiden adalah lebih mudah dari orang Melayu. Selepas Othman Wok, Muhammad Yaakub dan Rahim Yusuf, tiada lagi orang Melayu yang menjadi menteri yang menonjol.
Singapura memang mendakwa mengutamakan merit. Meritlah yang mungkin menjadikan tokoh-tokoh keturunan India lebih terbilang di Singapura. Sejak Petir berkuasa di Singapura, lebih ramai warga keturunan India menjadi menteri luar. Keturunan Cina juga ada, tetapi selalunya keturunan India. Keturunan Melayu tidak ada. Kalaupun menteri luarnya bukan keturunan India, tetapi keturunan India lebih berupaya muncul sebagai menteri yang penting.
Apapun orang Melayu Singapura mesti bekerja kuat seperti kaum lain untuk mencapai kejayaan hidup. Seperti di Malaysia juga, orang Melayu asalnya sebelum merdeka dulu adalah kaum yang ketinggalan semua lapangan - pendidikan, ekonomi, perniagaan dan sebagainya.
Sampai sekarang orang-orang Melayu masih terhegeh. Pencapaiannya dalam DEB adalah contoh. Dalam dibantu oleh kerajaan, ia belum dapat melonjakkan diri. Singapura tiada dasar itu dan orang Melayu mesti membangun sama kuat dengan kaum lain.
Apapun orang-orang melayu yang menaruh harapan tinggi kepada LKY kebanyakannya sudah mati. Mereka sahaja yang arif untuk membuat kesimpulan apakah mereka puas hati dengan layanan LKY.
Orang-orang Melayu di Malaysia ada tanggapan sendiri tentang LKY dengan orang Melayu. Tanggapan mereka tidak semestinya tepat. Tetapi tidak boleh menganggap Lim Guan Eng sama sepertinya. LGE tidak boleh jadi Melayu, tetapi dia boleh jadi orang Malaysia yang disenangi oleh orang Melayu. Bukan LKY ke-2?"
-Petikan daripada nukilan Subky Abdul Latif di warta SIASAH pada 27 April hingga 3 Mei 2008.

Post a Comment